Darby yakin anak didik bangkit di Stadium Perak
KETINGGALAN 2-0 selepas perlawanan pertama tidak melunturkan keyakinan jurulatih Perak, Steve Darby terhadap kemampuan pasukannya menjelang perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA berdepan Johor FC di Stadium Perak malam ini.
Sebaliknya bekas pemain belia Liverpool itu mengharapkan kebangkitan pemain-pemainnya malam ini kerana Piala FA tetap satu pertandingan yang dianggap penting olehnya.
"Memang kami ketinggalan 2-0, tetapi masih ada 90 minit perlawanan dan saya mengharapkan setiap pemain memberikan aksi terbaik pada pertemuan dengan Johor FC esok (malam ini).
"Sebenarnya untuk memenangi Piala FA tidak sesukar memenangi Liga Super atau Piala Malaysia. Anda hanya harus memenangi lima perlawanan untuk muncul juara, berbanding Piala Malaysia dan Liga Super yang memerlukan sebuah pasukan mengharungi banyak perlawanan.
"Piala FA juga menjamin tempat ke Piala AFC, kerana itu saya tetap memberi keutamaan terhadap pertandingan ini. Saingan Piala FA di Singapura amat meriah, tetapi saya tidak tahu mengapa ia kurang diberi perhatian di Malaysia," kata Darby.
Darby juga pasti menyedari Perak juga antara pasukan yang mempunyai pencapaian baik dalam Piala FA. Mereka muncul juara edisi pertama pada 1990 dan juga 2004 selain muncul naib juara tiga kali.
Mengenai cabaran pasukannya dalam Liga Super, Darby menegaskan Perak akan tetap meneruskan usaha menyaingi Kedah tetapi mengakui pasukan Hijau Kuning itu adalah pilihan untuk menjuarai liga.
Sementara itu, pemain import Selangor, Elie Aiboy berharap rakan sepasukannya tidak mengambil mudah perlawanan kedua Piala FA dengan DPMM malam ini walaupun mempunyai bekalan gol selesa selepas menang 5-1 pada perlawanan pertama.
Bagi Elie, setiap pemain harus tetap mensasarkan kemenangan kerana DPMM pasti mahu menebus kekalahan besar pada perlawanan pertama dan kerana itu wakil Brunei itu tidak boleh dipandang rendah.
"Apa yang penting sekarang ini ialah setiap pemain harus mengekalkan aksi terbaik berdepan DPMM, Piala FA adalah penting bagi Selangor dan juga saya sendiri secara peribadi.
"Jika kami mengambil mudah perlawanan esok (malam ini), sudah pasti ia memberi ruang kepada mereka untuk bangkit, " kata Elie.
|