Darby ada ramuan rahsia benam SAF
PERAK bakal berdepan tugasan sukar berdepan Kelab Angkatan Tentera Singapura (SAF) dalam saingan Kumpulan E Piala AFC malam ini tetapi jurulatihnya, Steve Darby tetap bersifat positif dengan berbekalkan pengalaman melatih di Liga S sebelum ini.
Bagi Darby, dia sebenarnya lebih mengenali pasukan Liga S daripada pasukan dalam Liga Super dan kelebihan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mencongak strategi terbaik bagi mencatat tiga mata di Stadium Perak malam ini.
“Perlawanan esok (malam ini) boleh diibaratkan sebagai Perak dengan pasukan Bangsa-bangsa Bersatu, kerana SAF hanya dibarisi lima pemain kelahiran Singapura dan dua lagi adalah pemain import yang diberi taraf kerakyatan.
“Selain itu, mereka juga akan dibarisi lima pemain import tetapi saya tidak melihat faktor itu sebagai satu kelebihan kerana kami sudah bersedia berdepan mereka.
“John Wilkinson dan bekas pemain kebangsaan Thailand, Therdsak Chaiman adalah dua tonggak SAF di bahagian tengah tetapi jika kami mampu menguasai bahagian tengah, saya yakin kami mampu mencatat keputusan positif,” kata Darby.
Antara persiapan yang sudah dilakukan Darby ialah memberi rehat secukupnya kepada beberapa pemain senior seperti kapten pasukan, Ahmad Shahrul Azhar bagi memastikan dia cergas sepenuhnya untuk saingan Piala AFC.
“Memang saya sengaja mengeluarkan Ahmad Shahrul selepas kami mendahului Pulau Pinang 3-0 pada aksi Liga Super Sabtu lalu. Ketika itu, kami hanya mahu memastikan tiga mata dan tidak mahu menanggung risiko kecederaan.
“Kami beraksi dalam tiga perlawanan dalam masa enam hari, dan ia bukan mudah. Saya berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dapat berbincang dengan pasukan yang terbabit dalam Piala AFC mengenai jadual perlawanan selepas ini, ” kata Darby.
Sementara itu, Darby menyuarakan rasa puas hati dengan tahap persembahan penyerang import Carlos Caceres yang kini membentuk gandingan mantap bersama Khalid Jamlus.
Darby menyifatkan Caceres sebagai seorang penyerang yang berbeza dengan bekas penyerang import Perak sebelum ini, Keita Mandjou tetapi pasukannya kini sudah mula serasi dengan corak permainan pemain dari Chile itu.
“Carlos adalah seorang penyerang yang merbahaya dalam kawasan penalti, tetapi dia tidak merbahaya di luar kawasan penalti. Pemain-pemain sudah serasi dengan corak permainannya dan saya gembira dengan gandingannya bersama Khalid yang setakat ini menyaksikan mereka mengumpul 33 gol bersama untuk Perak,” katanya. |