KERATAN AKHBAR - Harian Metro 04/03/2008


Muhiyuddin yakin Seladang bangkit

PERAK berdepan tugas berat membuat perhitungan dengan Johor FC dalam perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA di Stadium Perak, malam ini.

Begitupun Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah yakin pemain Seladang berkeupayaan untuk memadam defisit dua gol kepada pelawat.

“Ini perjuangan hidup mati buat Perak. Pemain tahu apa yang perlu dilakukan. Jadi saya rasa mereka tidak perlu diingatkan tentang misi penting ini,” katanya.

Berdasarkan keadaan semasa, Muhiyuddin berasakan bukan mustahil untuk Perak mencatat kemenangan dengan kelebihan tiga gol jika pemain menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan.

“Semangat pemain ketika ini tinggi berikutan kejayaan menumpaskan Perlis 2-0, Sabtu lalu. Saya berharap mereka mampu mengulangi persembahan memberangsangkan empat hari lalu itu sekali lagi,” katanya.

Katanya apa yang perlu dilakukan oleh pasukan tuan rumah malam ini ialah mencari gol awal untuk menyemarakkan lagi semangat serta membuat lawan berasa goyah.

“Jika berjaya menjaring gol di awal perlawanan sudah tentu akan membuka kembali persaingan. Oleh yang demikian saya berharap penyerang Perak akan memanfaatkan setiap peluang yang diperolehi dengan sebaik mungkin,” katanya.