KERATAN AKHBAR - Utusan 12/02/2008

Perak, Selangor janji pesta gol

KUALA LUMPUR - Tumpuan persaingan bola sepak Liga Super, malam ini pasti terarah kepada Perak dengan Selangor di Ipoh bukan sahaja kerana dendam pasukan pelawat sejak 10 hari lalu bahkan terhadap pertembungan gandingan penyerang berbisa masing-masing lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sesudah Seladang menakluki Stadium Shah Alam pada 2 Februari lalu, kini giliran Gergasi Merah menyerbu ke Stadium Perak dengan dendam yang meluap-luap untuk menebus kekalahan 4-2 dalam perlawanan yang dijangka turut hebat lagi dibanjiri gol semula.

Mengumpul 18 gol, Khalid Jamlus-Carlos Caceres kini mengalu-alukan ketibaan Safee Sali-Frank Seator yang menyumbat 13 gol sesama mereka sambil ribuan penonton akan cuba mencongak percaturan jurulatih manakah - Steve Darby atau Dollah Salleh yang lebih menyerlah dan berkesan.

Ketika Caceres yang dulunya dicemuh peminat Perak, semakin memikat, Selangor pula mendapat semula khidmat Seator yang terlepas aksi di Shah Alam selain kemunculan Elie Aiboy yang disebut-sebut mulai menemui rentak selepas baru menyesuaikan diri semula pada 2 Februari lalu.

"Kami mendapat Seator semula tetapi kehilangan Razman Roslan dan Indra Putra Mahayuddin (digantung kerana tiga kad kuning). Kembalinya Elie bagaimanapun menutup kelemahan sayap Selangor dan meluaskan pilihan pemburu gol. Cuma benteng yang masih merisaukan saya apatah lagi tanpa Razman," kata Dollah.

Tiga mata buat Perak bakal merapatkannya satu mata dengan peneraju liga, Kedah yang tidak turun malam ini tetapi kemenangan kepada Selangor membawanya mengambil alih peranan pengejar Sang Kenari dengan perbezaan dua mata asalkan Terengganu mampu menyekat Negeri Sembilan di Paroi.

Persoalan menarik dalam pusingan kedua Liga Super ini ialah sama ada kemampuan anak jati seperti Khalid, Safee, Zaquan Adha Radzak (Negeri Sembilan) malahan Zairo Anuar Zailani (Terengganu) mahupun Hasmawi Hassan dan Baddrol Bakhtiar dapat diteruskan untuk merebut Kasut Emas daripada tangan pemain asing.

Sekalipun tercicir daripada senarai perancangan jurulatih B. Sathianathan untuk menjalani latihan pusat awal skuad negara dari 3 hingga 6 Februari lalu, Khalid tetap membuktikan sentuhannya masih berbisa dalam menyaingi Marlon Alex James dengan menyumbat 10 gol berbanding penyerang asing Kedah itu, 12 gol.

Khalid berada setara dengan penyerang Perlis dari Zambia, Phillimon Chipeta dengan diikuti Caceres (lapan) dan Safee (tujuh), manakala Zaquan yang baru dipilih sebagai Pemain Paling Popular sebuah majalah sukan tempatan dan Zairo, mengekori dengan enam jaringan selain masing-masing lima milik gandingan Kedah, Hasmawi dan Baddrol.

Pembalasan setimpal turut dituntut oleh Negeri Sembilan terhadap Terengganu yang membenam mereka 3-1 di untuk menutup tirai pusingan pertama liga mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kerana mengintai peluang memintas jika Perak dan Selangor terikat seri.

Dilatih olehYunus Aliff, Terengganu umpama sebuah pasukan yang seimbang sama ada dalam sentuhan tenaga import atau kerahan pemain tempatan manakala tuan rumah bimbingan Wan Jamak Wan Hassan cukup mantap menerusi gandingan tonggak senior dan muka baru yang popular di kalangan penonton.

"Kami mungkin menggunakan serangan serampang tiga - Zaquan, Effendi Malek dan Udo Fortune tetapi saya yakin barisan musim ini sudah cukup bersedia dan bersemangat walau siapa pun yang diturunkan," katanya tanpa melupakan sentuhan memikat S. Kunalan yang turut menarik perhatian B. Sathianathan, baru-baru ini.

Agak membimbangkan ialah kelonggaran benteng Si Rusa yang seperti pincang tanpa khidmat Khairul Anuar Baharom dan Rezal Zambery Yahya kerana kecederaan apatah lagi untuk menghadapi barisan depan pertaruhan Penyu seperti Zairo, Md. Ashaari Shamsuddin, Gleisson Freire Jorge de Souza dan Fabio Flor.