BERITA UTAMA - Webmaster


Hajat PDRM Tidak Kesampaian

Ingin membalas dendam, itulah hasrat pasukan PDRM yang turun sebagai pelawat di stadium Perak malam tadi dalam pertemuan pusingan kedua Liga Super 2008. Namun segalanya terkubur apabila pasukan Perak berjaya mematahkan hasrat itu dan hampir mengulangi pungutan gol yang hampir sama ketika perlawanan pertama lalu.

Walaupun dengan ketiadaan penjaga gol utama, Hamsani Ahmad yang mengalami kecederaan ketika pertemuan dengan Terengganu Sabtu lalu dan pemain pertahanan Mario Esteban yang digantung akibat menerima kad kuning sedikitpun tidak menjejaskan rentak permainan pasukan Perak kerana pengendali pasukan, Steave Darby sudah mempunyai pengganti yang mampu mengisi kekosongan itu.

Walau bagaimanapun dalam pertemuan malam tadi, pasukan tuan rumah telah terlebih dahulu disentakan dengan gol pelawat pada minit ke-31 hasil jaringan pemain import mereka, Budi Sudarsono. Gol terhasil apabila Budi berjaya mengelecek beberapa pertahanan Perak lalu melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Mohd Nasril.

Tersentak dengan gol itu, Perak terus bangkit dan hasilnya selang dua minit Perak berjaya menyamakan kedudukan melalui ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar. Shahrul berjaya melepaskan rembatan kencang dari dalam kotak penalti PDRM setelah berlakunya pergelutan.

Keghairahan Perak memburu gol terus gagal dibendung pasukan pelawat apabila Perak berjaya mendahului pada minit ke-38 melalui pemain Import, Carlos Arturo Caceres. Gol terhasil apabila Caceres berjaya menanduk cantik hasil hantaran lintang Shahrul Nizam Mustafa dari sebelah kiri pintu gol PDRM.

Gol ketiga Perak pula muncul pada minit ke-63 melalui jaringan Khalid Jamlus. Khalid yang menerima lorongan cantik ketua pasukan berjaya memperdaya penjaga gol PDRM, Ishak Majali sebelum melepaskan rembatan.

Malam gemilang Perak terus bergema apabila Khalid sekali lagi mencipta jaringan untuk meletakan kedudukan 4-1 pada minit ke-86. Kali ini Khalid menerima hantaran cantik Jorge Antonio dan berjaya melepaskan rembatan kencang dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Ishak Majali buat kali keempat.

Tatkala permainan berkesudahan dengan jaringan itu, Perak berjaya mendapatkan satu lagi gol sebagai pelangkap malam gemilangnya. Gol kelima Perak Muncul pada minit ke-88 sekali lagi melalui Caceres. Gol terhasil apabila Caceres yang menerima hantaran lintang Danial Fadzli berjaya menguis mudah untuk menjadikan kedudukan kekal 5-1 hingga tamat permainan.

Perak kini menduduki tangga ke-3 liga dengan pungutan 28 mata dibelakang Selangor dan pendahulu tahta, Kedah.