BERITA UTAMA - Webmaster


Singa Hilang Taring, Caceres Terus Yakinkan Peminat

Gambar - Danial Fadzly berjaya meloloskan bola dari pemain pertahanan Perlis, Mohd Redzuan Othman.


Perak terus berada dilandasan yang betul apabila berjaya menjinakkan pasukan Singa Utara, Perlis dalam saingan Liga Super di Stadium Perak malam tadi.

Gol Caceres dan Khalid telah memastikan Perak mengutip mata penuh digelanggang sendiri sekaligus mengekalkan kedudukan mereka sebagai dua diantara tiga penjaring terbanyak musim ini.

Perak membuka jaringan pada minit ke-27 melalui pemain import, Carlos Caceres. Gol terhasil apabila Caceres berjaya melepaskan rembatan kencang dari dalam kotak penalti setelah berjaya meloloskan diri dari perangkap offside pertahanan Perlis.

Berpunca dari gol itu, Perak terus mengatur serangan dan memaksa pasukan pelawat berkubu di tempat sendiri. Beberapa peluang untuk menambah jaringan dapat dilihat namun ketangkasan pertahanan pelawat dan penjaga gol utama mereka, Mohd Yusoff Ishak berjaya menidakkan asakan Perak dan babak pertama kekal dengan keputusan Perak 1 Perlis 0.

Gambar - Ketua pasukan, Shahrul Azhar melonjak tinggi merampas bola dari ketua pasukan Perlis, Azi Shahril Azmi.

Bermula permainan separuh masa kedua, Perak terus mengawal permainan dan Perlis nyata kaku dan segala percaturan anak buah Irfan Bakti dilihat serba tidak menjadi.

Akhirnya, Perak berjaya menambah jaringan hasil pemain penyerang utama, Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-67. Khalid yang menerima hantaran cantik Danial Fadzly dari tengah padang berjaya melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Mohd Yusoff Ishak buat kali kedua.

Selepas gol tersebut, Perak terus mengasak namun gagal menambah jaringan hingga ke tiupan wisel penamat. Keputusan Kekal di Stadium Perak dengan Perak menewaskan Perlis 2-0.

Perak akan sekali lagi menjadi tuan rumah Selasa ini dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA melayani pasukan Johor FC. Sebelum ini Perak tewas di gelanggang mereka 0-2 dan mengharapkan sokongan peminat-peminat dalam pertemuan kedua Selasa ini untuk melayakkan Perak ke pusingan seterusnya.